Allan Saint Maximin kini berada di dalam senarai jual oleh Newcastle. Pemain sayap lincah itu dikatakan sudah maklum tentang perkara itu.

Ini kerana kelab mahu mencari dana bagi mendapatkan pemain antarabangsa England Harvey Barnes dari Leicester.

Newcastle sudah dimaklumkan bahawa Harvey Barnes berminat menyertai kelab itu dan bermain di Liga Juara Juara Eropah musim baharu ini.

Namun kelab itu yang sudah berbelanja besar terpaksa menjual pemain lain untuk menampung dana bagi mendapatkan Harvey Barnes.

Laporan oleh The Telegraph menyebut bahawa, kelab itu sedia menjual Allan Saint Maximin untuk membolehkan mereka mendapat dana tambahan bagi menandatangani Harvey Barnes.

Newcastle harus mengikut piawaian FFP dalam berbelanja. Pemilik kelab, pihak PIF sudah menghubungi wakil kepada Saint Maximin tentang perkara itu.

Leicester yang tersingkir dari EPL musim lalu, telah meminta £40 juta daripada Newcastle untuk pemain mereka Harvey Barnes.

Pemain yang berstatus homegrown player itu sudah lama menjadi sasaran Eddie Howe di Newcastle.

Barnes menjaringkan 13 gol sepanjang musim lalu untuk kelab tersebut dalam Liga Perdana Inggeris.

Allan Saint Maximin sentiasa menjadi pemain yang mengujakan peminat Newcastle di dalam padang. Dia antara nama yang disayangi peminat.

Keputusan kelab untuk meletakkan Saint Maximin dalam senarai jual agak mengejutkan ramai peminat Newcastle.

Newcastle sebelum ini sudah mendapatkan Sandro Tonali dari AC Milan dalam usaha mereka mahu menguatkan lagi pasukan mereka yang akan bersaing dalam Liga Juara Juara Eropah musim hadapan.